Sabtu, 31 Disember 2011

Doa Dipermudahkan Urusan


3 SYARAT BINA KELUARGA BAHAGIA

INSTITUSI kekeluargaan menjadikan kehidupan manusia sentiasa berjemaah. Ketua keluarga bukan saja memimpin ahli keluarga, tetapi juga mengamalkan unsur syura dalam semua perkara membabitkan ahli keluarga.

Dalam kehidupan berjemaah, suami, isteri dan anak akan solat bersama, makan, membeli-belah, beriadah dan melakukan aktiviti kekeluargaan tanpa mengetepikan ahli keluarga yang lain.

Rumah ibarat syurga yang menyempurnakan kehidupan manusia, segala-galanya ada di dalamnya, penghuninya berasa selamat dilindungi, apatah lagi dipimpin oleh ketua keluarga bertanggungjawab serta sarat kasih sayang.

Rumah tangga yang pincang kerana pemimpinnya tidak berkhidmat untuk ahli yang dipimpin, maka tidak akan mencapai objektif perkahwinan dan berkeluarga seperti mana dituntut agama.

Islam mensyariatkan perkahwinan kerana memenuhi fitrah manusia yang tidak boleh hidup sendirian. Manusia memerlukan perhatian, pertolongan, sokongan dan pasangan untuk berkongsi kelemahan serta kekuatan yang boleh melengkapkan sebuah kehidupan menuju ke akhirat.

Tujuan perkahwinan adalah untuk mencapai ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan. Firman Allah yang bermaksud: “Dan antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa Dia jadikan bagi kamu pasangan hidup supaya kamu mendapatkan ketenangan/kebahagiaan bersamanya. Kemudian Allah ciptakan antara kamu berdua mawaddah dan rahmah.” (Surah ar-Rum, ayat 21)

Melalui perkahwinan manusia akan hidup dalam mawaddah, musyawarah dan amanah. Lumrah berpasangan mengasihi antara satu sama lain kerana mereka saling melengkapi, justeru mawaddah menjadikan manusia berhemah sesama makhluk Allah dan bertolak ansur sesama insan.

Keperluan mawaddah bukan hanya untuk memenuhi keinginan seksual, juga keperluan jiwa dan nurani manusia yang sentiasa ingin didampingi pasangan bagi berkongsi susah dan senang.

Mawaddah berasaskan nafsu serakah semata-mata akan menghilangkan rahmah dalam kehidupan berumah tangga sehingga memungkinkan suami atau isteri meninggalkan pasangannya kerana orang lain.

Musyawarah pula bermula apabila pasangan saling menghormati, memahami keperluan dan kehendak masing-masing, justeru cuba memenuhinya tanpa mengorbankan salah satunya. Tetapi, menjadi sebaliknya apabila konsep berjemaah dan syura tidak lagi diterapkan dalam rumah tangga.

Amanah menjadikan pasangan suami isteri lebih bertakwa kepada Allah kerana ia memberi ‘sesuatu’ kepada suami dan isteri supaya bertanggungjawab terhadap pemberian itu. Ia sekali gus menjadikan mereka amanah dan amanah menjadikan mereka bertakwa.

Bagaimanapun, perkahwinan menjadi kehidupan sukar buat setiap pasangan yang tidak mampu mencapai objektif perkahwinan dalam Islam. Rumah tangga yang tidak mampu ditegakkan dengan mawaddah, musyawarah dan amanah akan mudah ranap dan runtuh.

Memang benar perceraian paling dibenci Allah, tetapi tidak bermakna suami isteri harus terus membiarkan diri mereka tenat di bawah runtuhan rumah tangga.

Jika perkahwinan menjadi penyebab manusia semakin galak melakukan maksiat dan mengingkari perintah Allah, sudah tentu perkahwinan itu perlu dijauhi.

Sebab itulah walaupun hukum asal perkahwinan itu sunat kerana diamalkan oleh Rasulullah SAW, ulama menetapkan hukum perkahwinan berbeza mengikut situasi individu.

Malah, perkahwinan diharamkan jika suami tidak mampu membina mawaddah, musyawarah dan amanah, seperti menzalimi isteri serta tidak memberi nafkah zahir dan batin.

Justeru, tiada rasionalnya untuk meneruskan sebuah perkahwinan jika ia menjadikan manusia semakin jauh daripada kasih sayang Allah. Suami atau isteri yang tiada mawaddah, musyawarah dan amanah menjadikan pasangannya tidak taat, setia, sekali gus merosakkan rumah tangga dibina.

Malah ia berkemungkinan mengakibatkan berlakunya perbuatan lain yang membuatkan mereka semakin ingkar terhadap peraturan Allah. Perceraian bukanlah keseronokan, ia bukan juga penentu sebuah kehidupan baru yang akan dibina akan lebih baik dari sebelumnya, tetapi ia adalah jalan keluar dari kesukaran

15 Maksiat yang menurunkan bala'

 Daripada Ali bin Abi Thalib r.a Rasulullah s.a.w bersabda:

Apabila umatku telah membuat lima belas perkara, maka bala’ pasti akan turun kepada mereka :


1-apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu.

2-Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.

3-Zakat dijadikan hutang.

4-Suami memperturutkan kehendak isteri.

5-Anak derhaka terhadap ibunya.

6-Sedangkan ia berbaik dengan kawannya.

7-Suka menjauhkan diri dari ayahnya.

8-Suara ditinggikan dalam masjid.

9-Yang menjadi ketua satu kaum adalah orang yang terhina diantara mereka.

10-Seseorang yang di mulia kerana ditakuti 
kejahatannya.

11-Arak diminum di merata tempat.

12-Kain sutera banyak dipakai oleh lelaki.

13-Para isteri disanjung-sanjung.

14-Muzik banyak di mainkan.

15-Generasi akhir umat ini melaknat 
(menyalahkan) generasi pertama (sahabat).

Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi, atau dirubah menjadi makhluk lain.

(Hadis riwayat tarmizi)

SEMUA REZEKI DATANGNYA DARI ALLAH SWT


Umat Islam perlu yakin dengan sepenuh-­penuhnya bahawa rezeki terletak dalam kekuasaan Allah atau di tangan Allah, bukan di ta­ngan makhluk.
Mahfum Firman Allah (Saba’:24)
Katakanlah: “Siapakah yang memberi rezeki kepada mu dari langit dan dari bumi?” Katakanlah: “Allah”, dan Sesungguhnya Kami atau kamu (orang-orang musyrik), pasti berada dalam kebenaran atau dalam kesesatan yang nyata.
Mahfum Firman Allah (Al-Ankabut:60)
Dan berapa banyak binatang yang tidak (dapat) membawa (mengurus) rezekinya sendiri. Allah-lah yang memberi rezeki kepadanya dan kepadamu dan Dia Maha mendengar lagi Maha mengetahui.
Mahfum Firman Allah (Ali Imran:26):
Katakanlah: “Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Memang banyak ayat-ayat Al-Quran yang merujuk kepada rezeki sebenar yang kita peroleh atau yang hilang daripada kita semua­nya dikembalikan kepada Allah SWT.
Adapun yang dirujuk kepada saya dalam soalan ini, seolah-olah memberi makna bahawa ada manusia yang berikhtiar menutup rezeki orang lain dan mem­buka rezeki seseorang.
Dengan erti kata lain, ada manusia boleh mengkayakan atau memiskinkan manusia dengan kebolehannya, maka tentulah logiknya dia juga boleh membuka rezeki dirinya (untuk memperkayakan diri sendiri), bahawa dengan kekayaan itu dia boleh, membantu orang yang susah dan bukan menyusahkan orang yang sudah senang.
Secara logiknya, membuka rezeki lebih mudah daripada menutupnya. Contohnya, membuat sebuah bangunan lebih susah daripada membukanya. Memasang satu pintu mengambil masa yang lama dan sukar, sebaliknya memecahkan pintu adalah mudah dan sekejap sahaja.
Pada saya mungkin, restoran yang pertama, dibuka awal, tiada saingan, maka dengan sendirinya ramai pelanggan. Manakala restoran lain dibuka, dengan cara yang berbeza, layanan dan makanannya mungkin lebih berkualiti, muka ramai yang tertarik dan mengubah selera.
Sememangnya ada orang me­ngadu kepada saya bahawa pre­mis perniagaannya tidak dapat dilihat oleh pelanggan, seolah-­olah telah ditutup. Terpaksa berpindah ke tempat lain. Sedangkan restoran itu sebenarnya masih dibuka.
Mungkin juga pelanggan tidak perasan wujudnya restoran tersebut. Mungkin juga pelanggan hilang konsentrasi. Sebagai con­toh ada ketika kita pernah kehilangan seuatu benda (cermin mata misalnya), lalu kita mencarinya di merata-rata tempat, setelah puas mencari tidak berjumpa.
Maka isteri, bertanya, “Apakah yang kita cari, kita menjawab mencari cermin mata. Lalu dia memberitahu, “Itu cermin mata ada di atas meja”.
Mengapa selepas kita puas mencari tidak bertemu? Apakah kita disihirkan orang sehingga benda yang begitu mudah tidak dijumpai? Mungkin benar ada orang mengusahakan seperti meletakkan sesuatu yang diper­cayai boleh menyekat rezeki, tetapi yakini lah bahawa semua itu adalah usaha jahat manusia, walhal punca rezeki sebenar-benarnya di tangan Allah.
Bagaimanapun kita mesti berusaha menghindarkan per­buatan jahat manusia, seperti dengki khianat sebagaimana yang disebut dalam Surah an-Naas. Oleh itu, mohonlah kepada Allah, mohon perlindungan kepada-Nya. Carilah sebab-sebabnya mengapa Allah takdirkan kea­daan sedemikian berlaku.

MENGHUKUM ANAK HENDAKLAH SEPADAN DENGAN KESALAHAN


MEMANG sudah fitrah anak yang masih kecil terutama yang nakal dan hiperaktif ada kala amat menggusarkan ibu bapa. Maka timbul rasa kurang senang sehingga bertindak secara keterlaluan dalam menghukum.
Islam melalui panduan yang diperturunkan Rasulullah SAW banyak memberi gambaran jelas bagaimana kita boleh bertindak secara tepat dalam permasalahan menghukum anak.
Diceritakan oleh Muawiyah bin Salih, ada lelaki datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah, ahli keluargaku tidak taat kepadaku. Apakah yang patut aku gunakan untuk menghukum mereka? Lalu kata Baginda: Maafkanlah saja. Kemudian Rasulullah SAW menyebut hal yang sama pada kali kedua bahkan juga pada kali ketiganya. Seterusnya Baginda mengatakan: Jika kamu perlu menghukum, hukumlah mengikuti kadar kesalahan yang dilakukannya dan jauhilah dari memukul pada bahagian muka.” (Hadis riwayat at-Tabrani)
Jika kamu perlu menghukum, hukumlah mengikuti kadar kesalahan yang dilakukannya dan jauhilah dari memukul pada bahagian muka. – Hadis riwayat at-Tabrani
Seboleh-bolehnya gunakan pendekatan memaafkan kesalahan dilakukan ahli keluarga khususnya anak. Namun, Rasulullah SAW tidak melarang menggunakan kaedah hukuman. Bagaimanapun hukuman seharusnya sepadan dengan bentuk atau tahap kesalahan serta dilarang memukul bahagian muka.
Sebenarnya panduan Rasulullah SAW itu tersirat dua makna iaitu dari perspektif psikologi dan fisiologi. Ditinjau dari aspek psikologi, pendekatan memberikan kemaafan adalah kaedah berlemah lembut dalam memberi teguran.
Dengan cara demikian, perasaan anak yang masih kecil tidak akan terguris. Ini penting supaya jiwa anak tidak terkongkong yang kemungkinan akan menyebabkan terbantutnya perkembangan minda positif.
Zaman sekarang ini, banyak sudah terjadi anak yang bertindak lari dari rumah. Seharusnya ibu bapa mengambil berat isu ini. Salah satu penyebabnya, tindakan membabi buta dalam menghukum dan seterusnya jiwa anak berasa tertekan.
Selain itu, dari sudut ilmu psikologi juga pernah dinyatakan bahawa anak yang kerap dihukum akan menjadikan hatinya keras dan berkelakuan kasar semasa bergaul dengan rakan sebaya.
Untuk membimbing anak beristiqamah pada jalan benar dan menepati kehendak agama, tidak hanya terletak pada kaedah merotan dan memukul saja. Sebaliknya ibu bapa seharusnya mampu mempelbagai teknik khususnya teknik dorongan dalaman.
Mendidik anak perlu menggunakan kepelbagaian teknik yang berterusan contohnya dengan memberikan pemahaman jelas, tepat, pengajaran dan peringatan supaya akidah anak bertapak kukuh dalam jiwa mereka.
Kaedah secara kekerasan akan hanya mengundang rasa dendam kesumat dalam hati anak dan jika perasaan itu dibiarkan bersarang di jiwa mereka, akan menjadi sebati dengan diri. Keadaan itu sangat berisiko tinggi untuk menjerumuskan anak ke kancah yang negatif.
Rafi’ bin Amru al-Ghifari pernah menceritakan: “Saya seorang kanak-kanak yang sering membaling pokok tamar kepunyaan orang Ansar. Saya kemudian ditangkap lalu dibawa menemui Rasulullah SAW. Baginda SAW bertanya kepadaku: Kenapa kamu selalu membaling pokok tamar kepunyaan orang lain? Lalu saya jawab: Untuk memakan buahnya. Baginda SAW memberi nasihat kepadaku: Jangan baling pokok tamar kepunyaan orang lain. Kamu boleh makan setiap buah yang jatuh di bawahnya. Seterusnya Baginda Rasulullah SAW mengusap kepada saya sambil berkata: Ya Allah, Ya Tuhanku. Kenyangkanlah perutnya (dengan tamar yang gugur itu).” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Lihatlah betapa halus dan lembutnya teknik pendidikan Rasulullah SAW. Kanak-kanak yang bersalah ditegur dengan pola psikologi sangat menyentuh jiwanya kerana disamping memberi nasihat Baginda juga menggunakan teknik sentuhan.
Sebenarnya, teknik sentuhan terhadap badan anak akan memautkan keakraban utuh seterusnya berkeupayaan menjana penyerapan fahaman terhadap apa yang diajar.
Bagaimanapun, Islam tidak pernah menghalang teknik menghukum tetapi dengan bersyarat hendaklah dilakukan pada masa bersesuaian. Ingatlah, kaedah pukulan tidak sesuai untuk semua anak, semua situasi atau semua kesalahan.
Kaedah menghukum dengan rotan misalnya digunakan selepas kaedah penjelasan pemahaman dan nasihat dilakukan terlebih dulu. Pesan Nabi SAW: “Suruhlah anakmu menunaikan solat ketika berumur tujuh tahun dan pukullah jika berumur 10 tahun (jika tidak menunaikan solat juga) dan pisahkanlah tempat tidur anak (lelaki dan perempuan).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)